Victoria Institution contoh sekolah satu aliran
November 5, 2009 by jebatmustdie
GAGASAN 1Malaysia tidak mungkin terlaksana tanpa penubuhan sekolah satu aliran. Bagaimana mungkin ia terjadi jika 12 tahun kanak-kanak berada di satu tempat iaitu: 1tahun di peringkat prasekolah, 6 tahun sekolah rendah dan kemudian 5 tahun di sekolah menengah.
Bayangkanlah betapa akrabnya hubungan antara kaum jika sejak berumur 6 tahun mereka dapat bergaul mesra sehingga tingkatan 5 ketika mereka berumur 18 tahun.
Inilah ramuan atau formula paling mujarab untuk membentuk bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Pemimpin-pemimpin politik yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India mestilah jujur dan komited mahu benar-benar melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Janganlah hanya mementingkan kaum masing-masing tanpa mengutamakan kepentingan negara. Kita amat kecewa apabila anak-anak pergi ke sekolah yang berbeza, ibu bapa dan guru juga terpisah mengikut kaum kerana memilih sekolah yang berbeza atas kepentingan kaum masing-masing.
Sebenarnya model Sekolah Wawasan yang pernah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah model sekolah satu aliran yang paling praktikal.
Sebenarnya orang Cina dan India pun amat berminat dengan sekolah satu aliran ini tetapi para pendidik di kalangan kaum-kaum tersebut yang mempunyai sentimen perkauman yang amat menebal yang menentang idea yang baik ini.
Lihat sahaja Sekolah Victoria Institution (sekolah VI) yang merupakan contoh terbaik Sekolah Satu Aliran di negara ini.
Lihat sahaja semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu.
Lihat sahaja bagaimana mesranya pelajar-pelajar dari ketiga-tiga kaum bergaul mesra dan bersaing secara sihat dalam pelajaran.
Guru-guru, staf juga mempunyai komposisi ketiga-tiga kaum ini. Begitu juga dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga diwakili oleh ketiga-tiga kaum.
Lihat sahaja betapa seronoknya pelajar bergaul mesra semasa bersukan dan apa juga kokurikulum yang lain.
Sekolah VI ini juga cemerlang dalam akademik. Mengapa semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India amat berminat dengan sekolah VI ini sedangkan ia adalah model sekolah satu aliran?
Kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran wajar mengkaji model sekolah VI ini dan menjadikannya sebagai asas atau model untuk membentuk sekolah satu aliran di negara ini.
Setakat ini sekolah VI amat popular dan menjadi rebutan pelajar serta ibu bapa daripada semua kaum.
Mengapa sekolah VI sebagai sekolah satu aliran begitu berjaya dan dan mendapat sokongan semua kaum ?
SEKOLAH SATU ALIRAN
Kuala Lumpur
Saya bersetuju dengan pendapat dari pembaca di atas. Mengapa kita harus menidakkan para pelajar kita untuk bergaul dengan pelbagai kaum? Saya juga berpendapat, sistem sekolah satu aliran perlu diterapkan kepada lapisan sekolah rendah dahulu. Ini penting kerana di usia begitulah mereka akan lebih mudah merasa selesa dengan kawan-kawan dari pelbagai warna kulit. Contoh sekolah rendah kebangsaan yang bermutu tinggi sewaktu ketika dahulu adalah Sekolah Rendah Sultan Hishamuddin berdekatan dengan Bank Negara dan juga Sekolah Rendah St. John di Bukit Nanas.
Untuk membentuk Orang Malaysia yang cintakan negara dan rakyatnya, mereka perlulah bergaul antara satu sama lain dahulu, lebih lebih lagi dari kecil lagi.
Kita mendengar banyak keluhan dan kritikan serta cemuhan dari mereka yang menentang sekolah satu aliran di mana mutu pendidikan yang tidak bagus menyebabkan perlu wujudnya sekolah vernakular.
Ini mudah diatasi dengan membuat kajian menyeluruh terhadap sistem pelajaran kita sebagaimana yang telah dibuat lebih 50 tahun dahulu. Laporan dari penyelidik bebas mampu membuahkan cadangan-cadangan bernas yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi di dalam sekolah kebangsaan rendah dan menengah.
Jika mereka mengatakan bahawa mereka perlu mengekalkan budaya kaum masing-masing, hujah ini tidak masuk akal kerana kaum-kaum mereka di negara-negara lain tidak sedikit pun belajar di sekolah-sekolah vernakular malah, ada sekolah-sekolah vernakular di negara tersebut dilarang penubuhannya. Yang ada, cuma sekolah kebangsaan di negara masing-masing. Rakyat mereka belajar mengenai satu sama lain dengan lebih dekat dengan cara begini.
Ada yang menjadi negara maju kelas pertama tanpa wujudnya sekolah vernakular di negara tersebut. Oleh itu, apa sebabnya mahu diteruskan juga sekolah vernakular di negara Malaysia ini?
Mungkin juga negara ini tidak jadi maju kerana wujudnya sekolah vernakular? Manakan tidak? Apabila para pelajar tidak dapat duduk semeja dan mengenali satu sama lain, mana mungkin mereka dapat mentadbir negara ini dengan baik apabila mereka memerintah negara ini apabila dewasa kelak? Adakah kita akan menjadi maju jika ditunggangi oleh permasalahan sebegini?
Ini akan menjadi lebih kronik di dalam masa 10 tahun akan datang apabila para pelajar sekarang menjadi pemimpin muda di dalam parti politik masing-masing.
Mereka yang ingin menegakkan sekolah vernakular hanyalah mereka yang muflis idea dan masih berfikiran di tampuk lama. Ironisnya, kebanyakkan mereka yang menyokong sekolah vernakular, tidak pernah pula belajar di sekolah tersebut. Ini terjadi kerana mereka ini penyokong tegar puak pembangkang.
Hanya kerana membenci kerajaan, mereka menentang semangat harmoni yang akan terbit dari sekolah satu aliran. Orang jenis apakah ini? Ya, orang yang tiada sifat malu dan tiada pendapat bernas untuk melahirkan Orang Malaysia yang bersatu padu dan harmonis.
Mereka hanya mahu mencipta api kebencian supaya rakan-rakan mereka dapat memegang kuasa. Barulah puas hati mereka.
Yang menjadi mangsa adalah – impian untuk melihat rakyat yang mendokong ke arah Rukunegara dan Perlembagaan Malaysia.
Adalah penting agar kajian terperinci dilakukan untuk meningkatkan mutu pembelajaran di dalam sekolah kebangsaan. Ini perlu dilakukan segera.
Akta Pendidikan 1996 juga perlu digubal secepat mungkin. Jika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mampu menggubal semula akta yang penting seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, nescaya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia terlebih mampu untuk mengembleng tenaga menggubal Akta Pendidikan kita yang berkecamuk itu.
Jika Menteri Pelajaran malas untuk pening kepala mendokong aspirasi Orang Malaysia untuk melihat anak-anak mudanya bersekolah di dalam sistem satu aliran, maka serahkanlah jawatan tersebut kepada orang lain yang lebih kuat jatidirinya.
Masa untuk duduk bersimpuh, tertunduk malu seperti anak dara di dalam Kabinet sudah berakhir. Inilah masa untuk tunjukkan sifat kepimpinan yang sebenar! Terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment