Sunday, July 11, 2010

Victoria Institution (VI) - Ragbi

HISYAMUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR - Berusaha mengembalikan kecemerlangan Victoria Institution (VI) dalam sukan dan pembelajaran, sekolah awam tersebut akan menganjurkan perlawanan ragbi persahabatan menentang Kolej Vajiravudh (VC) dari Thailand, Isnin ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru VI, Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz berkata, perlawanan tersebut merupakan usaha berterusan VI untuk menyuntik semangat di kalangan para pelajar bagi mengembalikan status sekolah terkemuka dalam sukan ragbi, seperti yang pernah dikecapi oleh VI pada era 70an.

Katanya, selain menghidupkan kembali tradisi sukan rentas sempadan tersebut, perlawanan tersebut seharusnya menjadi pencetus kepada kebangkitan VI untuk menjadi sekolah yang cemerlang dalam bidang akademik dan sukan.

“Pertemuan ini bukan satu pertembungan biasa. Ia merupakan penyambung kepada tradisi sukan ragbi antara dua buah sekolah yang terhenti sejak 40 tahun lalu.

“Selepas memperoleh kembali status warisan dan mendapat kembali nama VI, sekolah ini bertekad mahu menjadi salah sebuah sekolah berbilang kaum yang berjaya di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Pertemuan tersebut akan diadakan di padang VI dan majlis sambutan kejohanan itu akan bermula pada pukul 3 petang.

Raja Amir berkata, pertembungan Isnin ini pastinya akan mengimbau kembali kenangan lalu yang mana perlawanan ragbi pertama kedua-dua sekolah tersebut adalah pada 1963.

Katanya, tiga lagi perlawanan seumpama itu berjaya dilangsungkan pada 1965, 1967 dan akhirnya pada 1969.

“Ini adalah peluang kepada VI untuk membuktikan mereka mampu menandingi sekolah terbaik Thailand dalam sukan ragbi.

“Selain itu, ia juga seharusnya menjadi satu pendedahan terbaik kepada VI terutamanya dapat beraksi menentang sekolah terbaik ragbi dari negara jiran.

“Ia satu pendedahan terbaik kepada pembangunan sukan ragbi di sekolah ini, sekali gus menyuntik semangat pelajar di peringkat bawah untuk mewakili sekolah pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk pertandingan ragbi itu, Raja Amir berkata, pihaknya mahu menjadikan pertemuan antara kedua-dua sekolah tersebut sebagai acara tahunan.

Katanya, ia mungkin akan dijalankan secara berselang seli di dua buah negara iaitu Malaysia dan Thailand.

“Apa yang lebih menarik, pertandingan seumpama ini juga mungkin akan melibatkan penyertaan beberapa sekolah terkemuka di negara ini. Ia mungkin akan melibatkan pertemuan empat penjuru,” katanya.

No comments:

Post a Comment